Wednesday, 30 March 2016

Fasa Pertama Di Persatuan Dysleksia Malaysia

Assalamualaikum...

Lama rasanya tak update kisah anak montel dysleksik saya. 31 Mac 2016 ni berakhir la kelas terapinya di Persatuan Dysleksia Malaysia (PDM). Untuk makluman semua, saya telah mendaftarkan anak istimewa saya di Persatuan Dysleksia Malaysia bermula awal Januari 2016 dan telah mendapat kelulusan cuti daripada pihak sekolah. Walaupun anak saya masih belum mampu membaca dan mengira tapi sekurang-kurangnya hasil usaha guru2 di PDM dia sudah boleh mengenal warna, menyambung garisan (walaupun masih herot berot), mengenal susunan nombor 1 hingga 10 membezakan huruf ‘b’ dan ‘d', mengenal huruf vokal dan huruf pertama sesuatu benda.


Perkembangannya agak perlahan berbanding usianya tapi alhamdulillah ada kemajuan. Saya memang kena banyakkan berfikiran positif dan bersyukur kerana Allah pilih saya untuk menjaga anak istimewa. Kena banyak memandang pada ibu bapa yang lebih berat ujianNya untuk kita bina kekuatan dalaman. Ibu bapa dysleksik juga kena selalu ingatkan diri bahawa anak anak ini kemahiran motor mereka lemah. Jadi kita sebagai ibu bapa kena selalu buat latihan berulang kali untuk tingkatkan kemahiran motor mereka dan jangan putus asa. Nampak macam mudahkan tapi percayalah bukan semudah kita mengajar anak2 normal. So ibu bapa dysleksik kena ada tahap kesabaran yang sangat tinggi ya.. dan itulah kekurangan saya dalam membentuk anak istimewa saya.

Pandangan saya terhadap anak2 dysleksia ni terutamanya anak saya, dia ada keinginan untuk belajar, cuba untuk memahami, cuba untuk fokus dan ada komitmen untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya tetapi kemampuannya terhad. Walaupun telah dipandu dan diajar dalam bahasa dan gaya pengajaran yang mudah tetapi masih sukar diikuti. Kuncinya SABAR tahap tinggi ya..

Sejak akhir-akhir ni, anak saya sering bertanya fasal arwah kakak dia.. mungkin dia terfikir kenapa dia takde adik beradik macam orang lain. Untuk buat dia tidak berasa keseorangan saya kena jadi kawan dia juga. Maksudnya saya kena bermain macam dia. Tak terlayan dik non. Sian..

Anak2 dysleksia juga suka mengulang perkataan dan penceritaan yang dia suka. Kalau anak saya memang selalu camtu. Cerita yang berlaku semalam, esoknya dia cerita lagi.. tapi dia akan merujuk perkara tu seperti berlaku semalam. Tapi saya rasa itulah kelebihan dia... memorinya sangat bagus terutamanya yang melibatkan cerita tentang keluarga... contohnya kalau satu hari tu abah dia terlupa bawah handphone... esoknya dia akan ingatkan abah dia “abah dah bawak handphone?”... tulat pun dia akan cakap perkara yang sama takut abah dia terlupa lagi. Tapi bila melibatkan pembelajaran sama ada membaca mahupun mengira memang sangat susah untuk dia mengingati.

Awal bulan April 2016 ni bermula la sesi persekolahannya di sekolah biasa. PDM banyak membantu tapi sekolah biasa pun tak boleh la nak cuti lama-lama. Seperti biasa, saya masih lagi berfikir.

Untuk ibu bapa yang masih buntu hala tuju anak tu boleh la survey2 Persatuan Dysleksia Malaysia. Lebih awal lebih baik. Sebab memang boleh nampak perubahannya. Untuk mendaftar, ibu bapa perlu buat test dulu bagi menentukan tahap dysleksik anak anda dan tentu sekali dikenakan bayaran. Sebab tempat ni tak dapat bantuan Kerajaan. So bayaran yang kita bayar tu digunakan untuk tampung kos operasi persatuan tersebut. Jangan lupa mohon kelulusan cuti daripada pihak sekolah untuk memastikan bantuan elaun pemegang kad OKU diterima...

Moga kesabaran milik kita..

No comments:

Post a Comment